fbpx

Asbab kegilaan ‘Walid nak Dewi’di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL HUSSIEN kini sohor di Indonesia dek penangan drama Bidaah.

JIKA ada yang tertanya-tanya mengapa drama Bidaah mencipta fenomena luar biasa di Indonesia. Jawapannya, barangkali apa yang ditelanjangkan daripada naskhah terbabit cukup ‘dekat’ dengan masyarakat di sana.

Penulis sempat bertanya rakan sejawat di negara republik sana menerusi pesanan WhatsApp, jawapan diberikan berlegar dalam lingkungan analogi sama. Bidaah yang datang daripada kerangka idea geliga penerbit, Erma Fatima mengetengahkan kisah penunggang agama yang sanggup mengkhianati Rasulullah dan Allah SWT demi kepentingan nafsu sendiri.

Fenomena Indonesia

Secara peribadi, penulis berasakan tiada perkara besar yang istimewa tentang Bidaah termasuk dari sudut plot, perihal teknikal seperti sinematografi mahupun terjemahan karakter pelakon terlibat.

Kendatipun, apa yang menjadi fokal perhatian berbilion audiens Malaysia dan Indonesia adalah kisah yang berani divisualkan. Lelaki berserban dan berjanggut zaman sekarang menghalalkan perkara yang menjadi larangan agama? Itu bukan sesuatu yang bersifat ganjil dan berlaku di mana-mana sahaja di seluruh pelosok dunia.

Tidak kira melibatkan golongan agamawan Islam ataupun agama-agama lain seperti Kristian atau Yahudi, ada sahaja kemaksiatan yang berlaku. Kerana apa? Agama itu sempurna, yang tak sempurna adalah para penganutnya. Atau dalam bahasa orang putih, hate the sin, not the sinner.

Harap lebih

Menyentuh tentang kualiti dicernakan pasukan Bidaah, penulis sebenarnya mengharapkan lebih daripada karya terbabit.
Episod 15 sepertinya terlalu ‘disempurnakan’ secara antiklimaks. Kita mendambakan kesudahan antara Hambali dan Baiduri selain apa terjadi kepada Kalsum (ibu Baiduri) selepas keluar daripada Jihad Ummah.

Kita juga menginginkan bahana sehebat-hebatnya kepada ketua Jihad Ummah iaitu Walid (lakonan Faizal Hussein). Tidak cukup hanya melihat orang yang bernikah batin sesuka hati tangannya hanya digari pihak berkuasa dan janggutnya masih panjang ke bawah.

Walid patut dihukum sewajarnya selepas sesuka hati menceraikan isteri keempat Habibah (lakonan Malia Baby) dan menghamilkan seorang pengikut baharu Jihad Ummah.
Keseluruhannya, Bidaah berdiri sebagai sebuah projek atau naskhah biasa-biasa sahaja.

Cuma yang membuatkannya mudah memancing perhatian adalah realiti ‘dibogelkan’ kepada umum dengan keberanian yang jarang-jarang didokumentasikan.

Sampaikan peminat Indonesia mula mengorek perjalanan seni pelakon utamanya iaitu Faizal Hussein, itu memang satu pencapaian luar biasa buat produksi tempatan. Syabas!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI