PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah memberi sokongan moral padu kepada anakanda baginda berdua dalam perlumbaan pembuka tirai siri GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, hari ini.
Dua anakanda adalah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran terbaharu keluarga di raja itu, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Sepang bagi menyaksikan perlumbaan, diiringi oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim serta suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.
Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor berlumba untuk pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).
JMR memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Alexander Sims dari Britain berjaya merangkul tempat ketiga dalam kategori Pro-Am, sekali gus mencatatkan podium pertama bagi musim ini.
Namun nasib kurang menyebelahi Tunku Abu Bakar dan Jordan Love, apabila terbabit dalam kemalangan sehingga berlaku kerosakan pada jentera dan ketinggalan sehingga akhir perlumbaan.
Sultan Ibrahim turut tidak terlepas menonton perlumbaan itu di Johor Bahru dan bertitah gembira dengan permulaan baik yang ditunjukkan menggunakan jentera baharu Corvette “
“Buat Tunku Putera, cuba lagi di perlumbaan seterusnya, saya yakin prestasi akan meningkat, semoga lebih bernasib baik,”titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang telah datang memberikan sokongan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, terutamanya mereka yang sanggup datang dari Johor Bahru ke Sepang.
“Saya berasa amat terharu dengan kesungguhan sokongan mereka. Semoga mereka akan selamat balik ke Johor Bahru, In Shaa Allah,” titah Raja Zarith Sofiah. – KOSMO! ONLINE