fbpx

Adakah mungkin saya sampai ke semua sekolah – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Foto yang dikongsi Fadhlina ketika menyantuni murid SK Tapah semalam.

PETALING JAYA – “Andai diberi peluang saya ingin sampai ke semua sekolah di seluruh pelosok negara bagi meninjau keadaan dan mendengar sendiri isu berbangkit.”

Begitulah luahan yang disuarakan sendiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam hantarannya di Facebook selepas mengadakan lawatan ke Kolej Tingkatan Enam Tapah, Perak semalam.

Jelas Fadhlina, mungkin beliau tidak mampu untuk meninjau ke semua lebih 10,000 buah sekolah seluruh negara untuk mendengar sendiri keluhan dan perkara berbangkit, namun beliau cuba untuk hadirkan diri sebanyak mungkin ke sekolah yang ada.

“Sewaktu dalam perjalanan keluar dari Kolej Tingkatan Enam Tapah, kenderaan saya melalui SK (Sekolah Kebangsaan) Tapah yang terletak bersebelahan.

“Sekumpulan murid yang sedang berlatih bola baling di padang bersungguh-sungguh melambai memanggil saya. Saya berhenti seketika untuk menyantuni mereka. Sungguh saya terharu dengan kemesraan yang sentiasa ditunjukkan di mana sahaja saya pergi.

“Ada lebih sepuluh ribu sekolah semuanya. Adakah mungkin saya sampai ke semua sekolah itu? Mungkin sukar tapi tidak mengapa. Saya pasti akan melawat sebanyak mungkin sekolah pada setiap kesempatan yang ada,” tulis beliau.

Fadhilina turut memuji pasukan yang komited di jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang dapat membantu memastikan setiap keperluan sekolah dipenuhi demi manfaat semua.

“Baik, sekolah mana pula seterusnya saya akan singgah? Ada cadangan? Nantikan ya,” tulis beliau lagi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI