PETALING JAYA – Seramai 18 orang kanak-kanak telah diselamatkan daripada sebuah rumah kebajikan kanak-kanak persendirian di kawasan Batu 9, Cheras selepas disyaki menjadi mangsa penderaan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata, kanak-kanak tersebut terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan, kini berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan saringan dan perlindungan.
“Kesemua 18 kanak-kanak yang berada di pusat jagaan berkenaan termasuk 12 kanak-kanak lelaki dan enam perempuan telah diselamatkan serta dibawa ke Hospital Kajang bagi pemeriksaan kesihatan.
“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat untuk proses saringan awal,” kata kenyataan itu.
Menurut KPWKM, hasil pemeriksaan, dua penjaga pusat jagaan tersebut dipanggil ke IPD Kajang untuk memberi keterangan lanjut.
Jelas KPWKM, rumah kebajikan terbabit turut diarah tutup serta-merta susulan dakwaan berlaku penderaan terhadap penghuninya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga rumah terbabit ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu kini direman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – KOSMO! ONLINE