JUNEAU, ALASKA – Seorang wanita di negeri Alaska memecahkan Guinness World Records kerana memiliki bukaan mulut berukuran 7.59 sentimeter, lapor agensi berita United Press International semalam.
Marie Pearl Zellmer Robinson memecahkan rekod dunia mulut ternganga paling besar untuk kategori wanita.
Percubaan memecahkan rekod dunia itu dilakukan selepas Marie menonton klip video memaparkan pemegang rekod sebelumnya, Samantha Ramsdell yang memiliki bukaan mulut 6.50 sentimeter pada 2021.
“Saya menonton video itu beberapa kali. Ia membuatkan saya tertanya-tanya sekiranya saiz bukaan mulut saya mampu mengatasi rekod sebelum ini.
“Saya tahu saya mempunyai mulut yang besar tetapi tidak pernah melakukan apa-apa dengan keunikan tersebut,” katanya. – AGENSI