PETALING JAYA – Belum sempat penduduk Kampung Tengah, Puchong menarik nafas lega ekoran tragedi letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada 1 April lalu, kini mereka diuji pula dengan kejadian banjir hari ini.
Hujan lebat dan petir berterusan sejak pukul 1 pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah di kampung tersebut dinaiki air mencecah paras pinggang.
Keadaan itu memaksa sebilangan penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.
Menerusi perkongsian @EiraSoo di TikTok, hujan lebat selama lapan jam menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan terbabit.
“Allahuakbar. Ujian kedua sempena raya pada tahun ini. Baru-baru ini letupan gas menyebabkan rumah terjejas di kawasan belakang.
“Baru sehari dapat masuk rumah, pagi ini diuji pula dengan banjir,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Video tersebut turut memaparkan pasukan penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat berikutan paras air yang tinggi.
Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai meluahkan rasa simpati dan mendoakan kesejahteraan kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir tersebut.
“Semoga dipermudahkan segala urusan. Amiin,” kata @SagaDaddy.
“Besar betul dugaan (penduduk),” ujar @Kamsiahsalleh0. -KOSMO! ONLINE
@eiraso Allahuakbar .. Ujian ke 2 Raya Tahun ni .. baru2 ni letupan gas rumah terjejas kawasan belakang dan baru sehari dapat masuk rumah pagi ni di uji dengan banjir .. #fyp#banjirkksb#banjirpuchong#banjirkgtgh#banjirselangor#banjirsungaiklang#updateterkini#selangor#banjir2025 ♬ original sound – EiraSoo