SHAH ALAM – Hujan lebat yang melanda Shah Alam sejak pukul 1 pagi mengakibatkan beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini dinaiki air.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, antara lokasi terlibat di Jalan Batu 3 Lama, Jalan Laba 3 23/14C dan Jalan Ijok 26/5.
Susulan itu, MBSA membuka laluan alternatif di Taman Sri Lembayung bagi membolehkan penduduk mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan lebih selamat di Plaza Tol Taman Sri Muda.
Laluan itu dibina sebagai ‘penyelamat’ bagi mengelakkan kenderaan ditenggelami banjir khususnya di Taman Sri Muda.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia berpindah ke pusat penempatan sementara yang disediakan sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa video kejadian banjir kilat termasuk di Jambatan Sri Muda ke Shah Alam. – KOSMO! ONLINE!