KUANTAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah sebuah aset kepunyaan UMNO selepas tidak lagi bersama dengan parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, bekas Perdana Menteri itu masih belum menandatangani surat pindah milik meskipun surat daripada firma guaman telah dihantar.
“Jadi dalam keadaan demikian saya ambil contoh secara spesifik Hotel Seri Pacific adalah kepunyaan UMNO Link Companies (ULC). Hanya beliau seorang yang tidak menandatangani untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah yang lain-lain telah bagi kerjasama.
“Bila seseorang itu tidak lagi menjadi pemagang jawatan dalam mana-mana organisasi terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya menjadi pemegang amanah sepatutnya beliau melepaskan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Akademi Rel Pahang di sini hari ini
Semalam media melaporkan UMNO telah memfailkan saman pemula pada 6 Mac lalu bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.
Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154 Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tan Sri Sanusi Junid dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah menetapkan 2 Mei depan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Dalam pada itu ditanya mengenai nilai aset berkenaan beliau berkata ia berjumlah ratusan juta ringgit.
“Perkara ini bukan baharu tetapi sudah lama. Hari ini baru orang bertanya saya kena jawab sebelum ini tiada yang bertanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE