PETALING JAYA – Sebuah rumah rosak selepas dindingnya dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Orang Asli, Gombak, pagi ini.
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Samsudin Saman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.50 pagi tadi.
Seramai enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 9 kilometer dari balai Bomba berkenaan.
“Kejadian tanah runtuh melibatkan kawasan berkeluasan 10 meter yang menghempap dinding sebuah kediaman.
“Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota bomba akan membuat pemantauan dan menasihatkan penghuni supaya berada di tempat yang selamat. – KOSMO! ONLINE