KUALA LUMPUR – Polis memberkas tiga lelaki yang disyaki keldai dadah dalam serbuan di sebuah hotel di kawasan Kuchai Lama pada 5 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai ingin menyeludup dadah terbabit melalui perkhidmatan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Miri, Sarawak.
Katanya, dalam serbuan sekitar pukul 11.40 malam, dua lelaki ditahan dalam sebuah bilik bersama dua bagasi berisi dadah jenis syabu dengan berat 72.8 kilogram (kg).
“Seorang lagi lelaki ditahan dalam serbuan di bilik berasingan yang menjumpai sebuah bagasi berisi syabu seberat 31.2 kg.
“Kesemua suspek disyaki dibayar upah sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 seorang untuk setiap penghantaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Rusdi berkata, keseluruhan rampasan membabitkan dadah berjumlah lebih RM3.33 juta dengan anggaran berat 104 kg.
“Kesemua suspek warga tempatan berusia di antara 33 hingga 44 tahun direman selama tujuh hari sehingga 12 April bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing didapati positif dadah jenis Morfin,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE