MELAKA – Lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita dan cuba menarik mangsa masuk ke dalam semak ketika berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini malam tadi telah diberkas polis.
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian dilaporkan oleh mangsa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Banda Hilir pada pukul 12.05 tengah malam susulan mangsa tampil membuat laporan.
“Suspek didapati datang dari arah belakang sebelum memeluk mangsa, menekup mulutnya dan mencabulnya. Dia turut cuba menarik mangsa ke arah kawasan semak, namun wanita itu berjaya melawan dan menjerit meminta pertolongan.
“Susulan maklumat yang diperoleh, polis menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum berjaya menahannya tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah dan kini direman selama empat hari hingga 14 April ini bagi siasatan lanjut.
Tambah Dzulkhairi, orang ramai dinasihatkan agar lebih peka dengan keselamatan diri, terutama ketika melakukan aktiviti bersendirian di tempat awam. – KOSMO! ONLINE