PETALING JAYA – Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan sedia untuk bertanding kerusi Naib Presiden pada pemilihan Ahli Lembaga Eksekutif (Exco) Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029, di Kuala Lumpur pada 19 April depan.
Perebutan kerusi Naib Presiden nampak semakin menarik selepas pengumuman calon diumumkan untuk mengisi 5 kekosongan menerusi sidang media hari ini..
Sumali mengakui sokongan padu daripada PSM telah memberi ilham kepadanya untuk bertanding dalam badan induk sukan negara bagi penggal kali ini.
“Setelah pengesahan tiga penyandang sebelum ini tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden barulah tergerak hati saya untuk menawarkan diri bertanding selain sokongan dari keluarga PSM sendiri,” katanya.
Sebagai rekod, PSM telah menaikkan semula ‘aura’ sukan sepak takraw malaysia apabila Stadium Titiwangsa jadi saksi skuad negara raih kejuaraan berganda di saingan Piala Dunia 2024 apabila mengungguli acara double dan regu.
Selain kejayaan penganjuran Piala Dunia yang berjaya tahun lalu, PSM juga bakal jadi tumpuan untuk himpunan pasukan sepak takraw terbaik asia dalam kejohanan Piala Asia yang berlangsung Mei depan.
Difahamkan, Sumali turut dikaitkan untuk bertanding pada pemilihan Exco Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada kongres akan datang.
Terdahulu, Kosmo! mengesahkan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029 selepas disahkan menjadi calon tunggal pada pemilihan nanti.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, pertandingan satu lawan satu dijangka sengit apabila penyandang Naib Presiden MOM merangkap Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dicabar Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.
Setiausaha Agung baharu juga akan dilantik selepas penyandang, Datuk Mohd Nazifuddin Najib memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut dan calon tunggal bagi jawatan itu ialah Datuk Mohd Nasir Ali yang kini memegang jawatan Penolong Bendahari. – KOSMO! ONLINE