KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang peniaga untuk meraih keuntungan besar bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanannya berjumlah RM171,338 pula lebur selepas terjerat skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 55 tahun dari Kuala Nerus itu membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.16 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga itu tertarik dengan iklan skim pelaburan yang dilihatnya di Facebook pada Disember lalu.
“Mangsa kemudian menghubungi pengendali skim pelaburan itu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kerana tertarik dengan umpan yang dijanjikan, lelaki itu mendaftar dalam skim pelaburan tersebut menerusi aplikasi yang diberikan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, mangsa melakukan pelaburan berjumlah RM171,338 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank sejak Disember sehingga Isnin lalu.
“Mangsa mula berasa curiga dan tertipu apabila keuntungan yang kononnya diperoleh hasil pelaburan tersebut tidak boleh dipindahkan ke dalam akaun bank miliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE