PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai menzahirkan keterujaan menanti detik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuka Kapsul Masa Wawasan 2020 pada Ahad ini.
Ia berikutan kapsul masa tersebut telah tersimpan rapi selama hampir tiga dekad, selepas ditanam di Menara Kuala Lumpur pada tahun 1996.
Ada yang meluahkan, masa berlalu terlalu pantas kerana ketika kapsul masa itu ditanam, mereka masih lagi bersekolah rendah.
“Sekejap masa berlalu. Waktu tu saya masih sekolah rendah. Tertanya jugak apa yang Tun tulis,” kata seorang netizen di media sosial.
“Nak tengok juga apa catatan yang dinukilkan oleh Tun,” ujar @Kabri Kabri.
“Menarik juga, buat ramai tertunggu-tunggu apa isinya,” kata netizen yang lain.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dengan kerjasama Hydroshoppe Sdn Bhd bakal membuka kapsul masa itu yang sepatutnya dilakukan pada tahun 2020.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh berkata, ia akan dibuka oleh Dr. Mahathir yang mengamanahkan kunci kapsul masa tersebut kepada MKLSB sejak 1 Oktober 1996.
Beliau berkata, bersempena itu juga MKLSB akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Raikan Raya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ sebagai tanda penghormatan istimewa buat negarawan ulung yang amat dekat dengan sejarah penubuhan menara ikonik tersebut.- KOSMO! ONLINE