GOMBAK – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan semua orang kenamaan termasuk beliau sendiri juga diletakkan di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) oleh pihak berkuasa negara.
Jelas Perdana Menteri itu lagi , semua orang kenamaan yang berada di negara ini turut tersenarai dalam kawalan sama.
“Saya pun ada (dalam senarai TCO), semua VIP (orang kenamaan) pun ada,” katanya ringkas selepas menghadiri Program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab mengenai pendedahan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan sehingga panggilan telefonnya diawasi.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mendakwa, situasi itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu.
Terdahulu, dalam majlis berasingan Perdana Menteri turut menerima anugerah ljazah Doktor Kehormat dalam bidang undang-undang daripada Universiti Shenandoah, Amerika Syarikat.
Anugerah tersebut disampaikan Presiden Universiti Shenandoah Dr Tracy Fitzsimmons dalam satu majlis di Pusat Aktiviti Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak, di sini.
Penganugerahan kedoktoran itu kepada Anwar adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Perdana Menteri dalam kepimpinan dan pembangunan masyarkat. – KOSMO! ONLINE.