SHAH ALAM – Kerajaan negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) akan menambah keperluan asas yang diperlukan mangsa banjir.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, ini termasuk selipar, kain batik, tudung sarung, pakaian dalam selain terdapat permohonan berkaitan susu formula dan lampin pakai buang.
“Ada mangsa yang keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang tidak sempat bawa pakaian, lampin anak, susu anak dan sebagainya.
“Mereka akan ambil atau selamatkan barang penting seperti kenderaan, beberapa dokumen penting dan telefon pintar.
“Jadi, kami akan sediakan keperluan itu demi keselesaan para mangsa banjir ini,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam, di sini, hari ini.
Jelas beliau, dianggarkan 20 sukarelawan WBS DUN Batu Tiga akan membantu kelancaran di PPS DUN tersebut.
“Selain itu, bantuan kaunseling dan psikososial turut disediakan kepada mangsa yang memerlukannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE