PETALING JAYA – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib yang dialami penduduk Kampung Kuala Sungai Baru di Putra Heights, Puchong apabila kediaman mereka ditenggalami air akibat banjir kilat.
Seorang mangsa, Norsalawati Zakaria, 42, berkata, biarpun kejadian banjir tidak begitu teruk, namun ujian tersebut tetap memberi kesan kepada dirinya sekeluarga.
“Pada mulanya kami diuji dengan kejadian kebakaran paip gas Putra Heights apabila rumah yang disewa sejak 16 tahun rosak teruk akibat kebakaran itu.
“Hari ini kami diuji lagi apabila rumah yang baru disewa selepas kejadian kebakaran ditenggelami banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Norsalawati, mereka sekeluarga berasa sangat terkesan dengan dua kejadian yang berlaku dalam tempoh terdekat.
“Kami kini betul-betul tinggal sehelai sepinggang. Pakaian bantuan yang diterima sebelum ini juga telah ditenggelam air,” ujarnya.
Sementara itu, mangsa, Zainal Abiddin Aribbin, 55, berkata, dia mengalami kerugian berganda apabila barangan elektrik dan bumbung rumahnya rosak ekoran tiupan angin kencang.
“Saya tertekan rumah belum lagi dibaik pulih dan banjir ini menambah jumlah kerosakan dalam rumah kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE