SEREMBAN – Jasa bekas atlet sukan renang paralimpik kebangsaan seolah-olah dilupakan walaupun beliau pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Zul Amirul Sidi Abdullah, 53, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dengan kecacatan dari pinggang hingga ke kaki bersara pada 2017.
“Saya bukan hendak salahkan mana-mana pihak, cuma berasa terkilan seolah-olah sumbangan kepada negara dan negeri dilupakan selepas saya bersara sebagai atlet.
“Mujur Majlis Sukan Negara (MSN) bantu dengan melantik saya sebagai penggerak atlet renang paralimpik dengan elaun RM350 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Pangsapuri Rakyat (PPR) Seri Perdana Paroi, di sini semalam.
Terdahulu, Zul Amirul menerima kunjungan Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed yang membantu membelikan tongkat baharu.
Zul Amirul yang juga atlet Negeri Sembilan berkata, dia kini menjadi jurulatih renang persendirian dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.
“Saya amat mengharapkan bantuan ihsan kerajaan setidak-tidaknya sebagai penghargaan atas jasa sebagai atlet yang pernah harumkan nama negara.
“Saya memang ada berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, tapi mungkin perihal saya terlepas pandang. Saya harap selepas ini mana-mana atlet OKU yang sudah bersara, bantulah mereka sebab kami nak mengharap pekerjaan lain mungkin susah,” katanya.
Lelaki dari Sarawak itu berkata, dengan pengalaman selama 17 tahun dalam sukan renang, dia memilih untuk berbakti sebagai jurulatih, namun pendapatan yang diterima tidak seberapa.
Lebih menyedihkan, katanya, ada ketika kesempitan wang, dia pernah terfikir untuk meminta sedekah di jalanan, namun dilupakan kerana mengenangkan air muka isteri dan anak-anak.
“Saya tidak mahu memalukan isteri dan anak-anak, sebab itu saya tetap berusaha mencari rezeki untuk keluarga.
“Kalau boleh saya amat berharap supaya pihak tertentu dapat gunakan bakat ini untuk melatih atlet baharu,” katanya.
Jelasnya, dia pernah membuktikan mampu melahirkan pelapis apabila dua anaknya iaitu Muhammad Amirul Rasul, 17, dan Anas Zul Amirul Sidi, 25, mencipta nama dalam sukan berkenaan dengan mewakili Negeri Sembilan dan renang.
Antara pencapaian terbaik Zul Amirul apabila merangkul tiga pingat emas iaitu dua tahun bertahun berturut-turut di Osaka, Jepun (2006-2007), satu emas dan tiga perak di Emiriah Arab Bersatu pada 2011.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Zul Amirul di talian 014-7344 835 atau melalui akaun Maybank 1551-3504-9711 (Zul Amirul). -KOSMO! ONLINE