GEORGIA – Justin Rose memulakan kempen Kejohanan Masters 2025 dengan penuh bergaya apabila melakukan 65 pukulan pada aksi pembukaan awal pagi tadi sekali gus mendahului saingan dengan kelebihan tiga pukulan di lapangan golf Augusta National.
Pemain berpengalaman dari England itu, mempamerkan aksi cemerlang sejak lubang pertama iaitu melakukan birdie pada tiga lubang awal dan mengekalkan rentak itu hingga lubang ke-16 dengan satu lagi birdie hasil pukulan putt jarak jauh.
Satu-satunya aksi goyah yang dipamerkan adalah melakukan bogey di lubang ke-18 akibat pukulan tee yang kurang tepat, namun ia langsung tidak menjejaskan keseluruhan prestasinya yang disifatkan oleh Rose sebagai hampir sempurna.
“Untuk beberapa lubang pertama, setiap pukulan betul-betul mengikut apa yang saya bayangkan. Saya mulakan dengan birdie 25 kaki di lubang pertama antara yang paling mencabar di padang ini. Itu benar-benar membantu saya tenang dan mula percaya pada permainan saya,” kata Rose.
Menerusi catatan lapan di bawah par, Rose kini tiga pukulan di hadapan Scottie Scheffler, Corey Conners dan Ludvig Aberg dengan ketiga-tiga mereka mencatat empat di bawah par menjelang pusingan kedua awal pagi esok.
Menariknya, ini merupakan kali kelima pemain berusia 44 tahun itu mendahului (atau berkongsi kedudukan pendahulu) selepas pusingan pertama di Masters iaitu satu rekod dalam sejarah kejohanan tersebut.
“Saya rasa saya dah cukup bagus untuk menang di sini. Cuma, saya belum ada jaket hijau sebagai bukti. Akhirnya, yang penting adalah siapa yang berdiri terakhir pada hari Ahad,” tambah Rose.
Pemenang pingat emas Olimpik dan juara Terbuka Amerika Syarikat 2013 itu pernah hampir menggenggam kejuaraan di Augusta apabila muncul naib juara pada tahun 2015 dan 2017 dan kini pada penghujung karier, Rose bertekad menutup tirai dengan pencapaian bermakna. – AGENSI