SHAH ALAM – Seorang penghantar barangan platform e-dagang menjadi korban kedua banjir apabila maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika mengecas telefon bimbit di sebuah rumah di Kampung Padang Jawa di sini, hari ini.
Mayat lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditemui orang awam yang menghubungi polis pukul 6.11 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati premis itu merupakan sebuah lot rumah satu tingkat dengan mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan berpakaian lengkap di dalam rumah tersebut.
“Tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematiannya.

“Siasatan mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik ketika mengunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki air,” katanya malam ini.
Tambah Mohd. Iqbal, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau balai polis berdekatan.
“Orang ramai diingatkan supaya berwaspada menggunakan barangan elektrik dan elektronik ketika musim banjir bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik,” katanya. – KOSMO! ONLINE