KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM26,100 selepas ditipu dalam urus niaga tempahan hamper raya berisi kurma dan coklat premium kononnya daripada sebuah universiti di Dungun.
Wanita berusia 46 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.36 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku kakitangan universiti awam itu pada pukul 2.30 petang, Isnin lalu.
“Mangsa menerima tempahan 135 hamper raya kononnya bagi majlis sambutan Aidilfitri peringkat universiti berkenaan yang dijadual semalam.
“Kelmarin, suspek menghubungi mangsa semula kononnya mahu membuat tempahan tambahan 145 kurma dan coklat premium bagi tujuan sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azli berkata, suspek seterusnya mencadangkan pembekal kurma dan coklat premium kepada peniaga terbabit sebelum mangsa membuat pembayaran berjumlah RM21,600.
Bagaimanapun wanita itu mula curiga apabila suspek gagal dihubungi, malah tidak mengambil tempahan hamper raya dari rumahnya di Kampung Gong Kijing, Kuala Nerus seperti dijanjikan semalam.
“Peniaga itu yang menghubungi pihak pengurusan universiti awam terbabit bagaimanapun terpenjat apabila mendapati tempahan hamper raya itu sebenarnya tidak wujud,” katanya. – KOSMO! ONLINE