fbpx

Peniaga burger mengaku culik gadis OKU sampai ke Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka atas pertuduhan melarikan seorang gadis OKU di sini hari ini. -Foto oleh ARIF HAMIZAN / KOSMO!

MELAKA – Seorang peniaga burger dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas didapati bersalah menculik seorang gadis orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dari taman permainan di Bukit Rambai Idaman, di sini, minggu lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Sukri Daud, 40, yang membuat pengakuan bersalah sejuruh pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa didapati telah melarikan gadis berusia 18 tahun itu dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di taman permainan Taman RI 1, Bukit Rambai Idaman dalam daerah Melaka Tengah, pada 5 April lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam S. Amritpal Singh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya hanya seorang peniaga burger dan perlu menyara tiga anak yang masih kecil selain telah insaf.

Pendakwaan dikendalikan Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius serta membabitkan mangsa yang merupakan individu OKU.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 7 April lalu.

Kosmo! pada 7 April lalu melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melarikan gadis OKU berusia 18 tahun dari Taman Rambai Idaman sehingga ke Kedah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan pada pukul 4 pagi, di Jalan Jati, Sungai Petani.

Katanya, suspek berusia 40 tahun itu disyaki melarikan mangsa menggunakan Perodua Kelisa bewarna Perak ketika gadis itu keluar bermain di taman permainan.

Pada hari kejadian suspek juga telah membawa mangsa ke beberapa lokasi termasuk Seremban, Negeri Sembilan, Ipoh, Perak dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum ke kampung lelaki itu di Baling, Kedah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI