KLANG – Bersengkang mata tidak tidur dan bersiap siaga menghadapi bah lebih buruk dari 2021. Itu kebimbangan ratusan penduduk antaranya di Jalan Kenangan, Jalan Cempaka, Jalan Teratai, Taman Sri Jaya dan Taman Meru Indah yang terjejas akibat banjir kilat hari ini.
Penduduk, Razman Zakaria, 52, berkata, dia terpaksa berjaga berikutan hujan lebat berterusan diselangi guruh dan kilat, kira-kira pukul 1 pagi sebelum dia bersama isteri dan seorang anak perempuan segera mengemas semua pakaian dan barangan berharga.
“Selepas empat jam hujan, saya mendapati air di kawasan halaman rumah telah mencecah paras betis,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Kenangan hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan kediaman mangsa yang terjejas masih dinaiki air kira-kira 0.3 meter dan banjir ‘termenung’. Sehingga kini, seramai 134 penduduk ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai bermula pukul 6.45 pagi tadi.
Menurut Razman, dia yang menetap di kawasan itu lebih 50 tahun lalu menyifatkan kejadian berkenaan terburuk sejak empat tahun lalu.
Sementara itu, peniaga berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, kedai makan miliknya turut terjejas dalam bah berkenaan.
“Saya bersama beberapa peniaga lain kini terpaksa menghentikan sementara operasi perniagaan kerana ditenggelami air. Tempoh penutupan tidak tahu berapa lama dan kami juga terpaksa menanggung kerugian dalam tempoh sukar ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE