TELUK INTAN – Seorang pempengaruh yang ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan lagu Negaraku dinyanyikan bukan dalam bahasa Kebangsaan dibebaskan dengan jaminan polis sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal berkata, wanita berusia lingkungan 40-an itu dibebaskan setelah keterangannya selesai direkodkan.
Katanya, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“Pada pukul 12 tengah hari, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hilir Perak menahan wanita itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.
“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media sebelum ini melaporkan, tiga laporan polis diterima berhubung penularan video mengelirukan masyarakat yang mendakwa lagu Negaraku dinyanyikan bukan dalam bahasa Kebangsaan pada satu acara di sebuah sekolah di Hilir Perak.
Menurut Bakri, video tular itu sebenarnya dirakam semasa majlis pelancaran kelab tarian naga di sekolah tersebut pada 6 Jun 2024.
“Lagu yang dinyanyikan kumpulan pelajar ketika majlis berlangsung juga bukannya lagu Negaraku, sebaliknya lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan iaiut lagu kebesaran negeri Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE