RAUB – Tiada kejadian rusuhan melibatkan pekebun durian dan pegawai Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) yang disekat ketika melalui jalan di kawasan Pekan Klau seperti yang tular dalam Facebook.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, bagaimanapun perjalanan pasukan penguatkuasa semalam tersekat oleh sekumpulan pekebun-pekebun yang diketuai Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
“Semasa kejadian lebih kurang 50 orang telah bertindak menghalang laluan jalan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan tidak puas hati mereka kerana memusnahkan tanaman pokok durian secara haram yang disyaki ditanam kira-kira 30 tahun lalu.
“Pihak polis Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 7 telah berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya di sini hari ini
Hari ini tular rakaman video dalam Facebook Penduduk Raub Bentong yang mendakwa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan UPNP kena sekat dengan penduduk Sungai Klau.
Menurutnya, sebanyak tiga laporan polis telah dibuat mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat di dalam mana-mana himpunan bantahan operasi pemusnahan tanaman pokok haram di daerah Raub serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian musang king di daerah Raub pada Julai tahun lalu,” katanya.
Sementara itu Yu Hui dalam kenyataan berkata, semasa kejadian semalam pekebun yang berkumpul berdekatan Dataran Sungai Klau bagi mendengar taklimat oleh Save Musang King Alliance secara kebetulan bertembung dengan pasukan UPNP.
Susulan itu katanya, beliau bersama Pengerusi Samka, Wilson Chang segera berbincang bagi meminta agar operasi penguatkuasaan dihentikan.
“Sepanjang proses perundingan suasana di lokasi kekal tenang dan tiada insiden kekecohan berlaku,” ujarnya.
Tambahnya, selepas itu dia bersama kumpulan penduduk telah pergi ke lokasi penguatkuasaan di Bukit Klau untuk sekali lagi berbincang bagi menuntut operasi dihentikan. – KOSMO! ONLINE