PETALING JAYA – “Ia nampak remeh, tapi ‘favouritism’ (pilih kasih) dalam keluarga memberi kesan besar pada kesihatan mental dan emosi.”
Itu kenyataan oleh Public Health Malaysia (PHM) mengenai kesan layanan yang tidak adil dalam sesebuah keluarga.
PHM berkata, mungkin ada dalam kalangan kita pernah merasai keadaan itu contohnya ketika pulang berhari raya ke kampung halaman.
“Balik kampung dengan hati penuh semangat, namun layanan diterima tidak sama seperti yang lain. Kereta mewah disambut penuh senyum. Yang biasa-biasa, parkir sendiri.
“Anak yang selalu ada, tidak diraikan. Anak yang jarang balik, dilayan bagai tetamu istimewa. Cucu di kampung yang menolong nenek setiap minggu hanya dipandang, sementara cucu dari bandar dibelai dan disanjung,” tulis PHM.
Kata PHM, mungkin bagi yang membezakan, ini bukan isu besar tetapi bagi yang merasainya, ia meninggalkan luka yang sunyi.
“Anak-anak kecil yang belum mengerti, hanya tahu rasa ‘kurang disayangi’ dan perasaan itu boleh terbawa sampai dewasa.
“(Akibatnya), ada yang membesar dengan rendah diri. Ada yang menjauh tanpa sebab difahami. Ada yang belajar menahan air mata sejak kecil,” ujar PHM.
Dalam pada itu, PHM menyarankan supaya budaya ‘favouritism’ ini dihentikan.
“Untuk generasi kita hari ini, cukuplah sampai di sini. Hari raya sepatutnya semua rasa diterima, rasa cukup, dan disayangi.
“Kita ubah, perlahan-lahan.Demi anak-anak dan warisan yang lebih sihat di dalam hati dan minda,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE