GEORGE TOWN – Sebanyak 80 lori tangki dan 182 tangki air akan digerakkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada pengguna ketika menghadapi Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) bermula 25 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K.Pathmanathan berkata, pelaksanaan pelan bantuan itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu untuk membantu 341,708 pengguna yang terkesan sepanjang tempoh gangguan.
“SWSI ini melibatkan henti tugas separa operasi Loji Rawatan Air Sungai Dua bermula pukul 10 malam, 25 April 2025. Sebanyak 23 projek kerja air akan dilaksanakan serentak di seluruh negeri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, gangguan itu akan memberi kesan kepada pengguna di Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut (DTL) dan Barat Daya (DBD), serta beberapa kawasan di selatan Seberang Perai Utara (SPU).
“PBAPP menyasarkan pemulihan bekalan air secara berperingkat bermula pukul 4 petang, 26 April, dengan 40 peratus pemulihan dicapai menjelang malam hari yang sama melibatkan kawasan SPU, SPT dan DTL.
“Menjelang 10 malam, 27 April, sebanyak 88 peratus pemulihan dijangka, manakala bekalan penuh dijangka pulih pada pukul 10 pagi, 28 April. Namun, kawasan hujung paip agihan dan tanah tinggi akan mengambil masa sehingga 60 jam,” katanya.-KOSMO! ONLINE