fbpx

Pang Ron-Su Yin jangan mudah ‘koyak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PANG RON (kanan) dan Su Yin tersingkir seawal pusingan pertama pada saingan BAC baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kekuatan fizikal sahaja masih belum cukup untuk beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk melonjak ke tahap lebih tinggi bagi mencabar pemain-pemain ternama dunia yang lain.

Sebaliknya, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, kekuatan mental juga perlu seiring dengan aspek tersebut sekiranya mereka mahu menjadi beregu terbaik di pentas dunia.

Pang Ron-Su Yin perlu segera mencari jalan penyelesaian memandangkan mereka kini memegang status sebagai beregu No. 1 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas perpisahan antara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Nova menyuarakan kerisauan terhadap aksi kurang konsisten beregu No. 14 dunia itu selepas mereka tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

“Saya tidak terkejut mereka tewas tetapi sedikit merisaukan bagaimana cara mereka kalah. Apa yang saya lihat, mereka seperti sudah hilang fokus pada set kedua dan ketiga, terutamanya Su Yin.

“Mungkin sudah rasa tekanan itu selepas kedudukan ranking semakin naik apabila jangkaan terhadap mereka menjadi lebih tinggi. Mungkin mereka sudah tidak boleh kawal (tekanan),” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara hari ini.

Aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Ningbo pada Selasa lalu, Pang Ron-Su Yin tewas 21-15, 12-21, 11-21 kepada beregu No. 18 dunia dari India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dalam tempoh 51 minit.

Justeru, Nova menggesa anak-anak buahnya itu supaya tidak terlalu memikirkan mengenai kekalahan terlalu lama kerana ia mungkin memberi kesan buruk kepada mereka untuk tempoh jangka panjang.

“Memang tugas kami adalah untuk beri sokongan kepada pemain supaya terus yakin. Pemain-pemain lain juga berdepan situasi seperti ini tetapi perlu bijak mengatasinya dan jangan kecewa terlalu lama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI