KEMAMAN – Seorang nelayan warga Kemboja yang menjadi awak-awak sebuah bot tempatan dikhuatiri terjatuh di perairan Kerteh di sini semalam.
Mangsa, Koeun Pn Ty, 42, disedari hilang oleh awak-awak lain sewaktu bot nelayan dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke Jeti Kompleks Ikan Kemunting, Kuantan, Pahang pada pukul 4.30 petang.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Ariffin Ghazali berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan setelah menerima laporan kehilangan mangsa pada pukul 9 malam semalam.
“Sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke jeti bersama 20 awak-awak lain setelah keluar menangkap ikan.
“Dia dipercayai terjatuh pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika (46.3 kilometer) dari timur Kerteh di sini,” katanya di sini hari ini.
Ariffin berkata, APMM melakukan pencarian awal menggunakan bot peronda, Penggalang 16, manakala operasi Carilamat turut mendapat kerjasama agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Kita akan membuat permohonan untuk penggunaan aset udara bagi usaha pencarian,” katanya. – KOSMO! ONLINE