DOHA – Juara dunia MotoGP, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia kini bersedia untuk meneruskan rentak kemenangan selepas mencipta kejutan menewaskan adik-beradik Marquez di Grand Prix Amerika Syarikat (COTA) minggu lalu.
Pecco sebelum ini berada dalam tekanan apabila menyaksikan dominasi Marc Marquez dan Alex Marquez begitu sukar digugat saingan awal musim 2025.
Namun, perlumbaan di COTA menyaksikan pelumba Ducati itu berjaya bangkit apabila memintas Alex seawal pusingan keempat sebelum memanfaatkan kesilapan Marc Marquez yang terbabas ketika mendahului perlumbaan.
Situasi itu membuka ruang buat Bagnaia meraih kemenangan pertamanya musim ini, sekali gus merapatkan jurang mata dalam perebutan kejuaraan dunia.
“Kembali bekerja di litar selepas kemenangan sudah tentu memberikan perasaan yang cukup baik.
“Penamat di Austin cukup luar biasa dan saya gembira kerana berbanding perlumbaan sebelum ini, perasaan saya ketika menunggang jauh lebih baik.
“Namun, kami masih perlu bekerja keras kerana litar ini (Qatar) memang terkenal sebagai tempat yang mampu menyerlahkan karakter dan potensi sebenar Desmosedici GP,” katanya.
Untuk rekod, Pecco hanya pernah menang sekali di Qatar iaitu pada perlumbaan pembuka tirai musim lalu, manakala Marc belum pernah menjejak podium tertinggi di litar ini sejak kali terakhir melakukannya pada 2014.
Ducati pula mencipta penguasaan luar biasa di Qatar apabila memenangi lima perlumbaan terakhir menerusi Enea Bastianini (2022), Jorge Martin (pecut 2023), Fabio di Giannantonio (GP 2023), Martin (pecut 2024) dan Pecco (GP 2024). – AGENSI