fbpx

Mohamad Norza kekal terajui MOM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD NORZA

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029 selepas disahkan sebagai calon tunggal untuk jawatan tertinggi badan sukan itu.

Pengesahan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pemilihan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam sidang media di MOM hari ini.

Menurut beliau, Mohamad Norza yang telah menerajui MOM sejak 2018 menerima 14 pencalonan daripada ahli-ahli gabungan, sekali gus melayakkan beliau terus memimpin badan induk sukan negara untuk penggal ketiga berturut-turut.

“Apabila kotak pencalonan dibuka selepas jam 5 petang pada 9 April lalu, hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan Presiden. Calon tersebut adalah Tan Sri Dato’ Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria,” katanya.

Pemilihan kali ini akan berlangsung semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 MOM pada Sabtu, 19 April 2025 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur yang turut menyaksikan 12 jawatan akan dipertandingkan, termasuk Timbalan Presiden, lima Naib Presiden, Setiausaha Agung serta jawatan-jawatan lain dalam struktur kepimpinan MOM.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, pertandingan satu lawan satu dijangka sengit apabila penyandang Naib Presiden MOM merangkap Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dicabar Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Setiausaha Agung baharu juga akan dilantik selepas penyandang, Datuk Mohd Nazifuddin Najib memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut dan calon tunggal bagi jawatan itu ialah Datuk Mohd Nasir Ali yang kini memegang jawatan Penolong Bendahari.

Firuz turut memaklumkan semua 16 calon yang bertanding telah melepasi tapisan integriti yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia menjadikan mereka layak bertanding.

“Semua calon disaring pada 9 dan 10 April. Tiada rekod jenayah, rasuah atau kebankrapan ditemui. Oleh itu, semua mereka adalah calon yang sah dan layak untuk bertanding,” jelasnya lagi.

Sebanyak 34 ahli biasa MOM layak mengundi dengan setiap satu diberikan tiga undi untuk semua jawatan yang dipertandingkan, selain proses pengundian dijalankan secara undi sulit dan keputusan rasmi akan diumumkan pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI