JAKARTA – Sekumpulan penduduk di Ciamis, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian ramai apabila memancing ikan keli di sebuah jalan berlubang, lapor portal berita Jabar Ekspres semalam.
Kejadian berlaku di Jalan Gulingmunding-Sindang Barang dekat daerah Panumbangan.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @jabarekspres memaparkan beberapa lelaki sedang memancing ikan di tengah jalan menggunakan joran yang dibawa dari rumah.
Lebih mengejutkan, kedalaman dan saiz lubang itu hampir menyamai sebuah kolam.
Mereka berbuat sedemikian sebagai tanda protes kepada pihak berkuasa agar jalan yang rosak dapat segera dibaiki.
Rakaman itu mencatatkan lebih 554,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Jalan di bandar cantik, tidak seperti di kawasan kampung,” kata seorang netizen. – AGENSI