HULU TERENGGANU – Hasrat seorang lelaki untuk pulang menemui isterinya di Segamat, Johor tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 379.4, Lebuh Raya Pantai Timur ( LPT2) berhampiran Ajil di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Che Rosli Che Mat,57, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Che Rosli dikatakan dalam perjalanan untuk menemui isterinya yang menetap di Segamat dari rumahnya di Pasir Puteh, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda City dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.
“Kereta itu kemudiannya merempuh besi penghadang sebelum memasuki parit di tepi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, tubuh Che Rosli tersepit di dalam kereta yang remuk teruk sebelum dikeluarkan oleh sepasuka. anggota bomba.
Beliau berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut,”katanya. – KOSMO! ONLINE