NILAI – Seorang penternak berputih mata apabila lima ekor kambing peliharaannya mati dipercayai dibaham harimau kumbang dalam kejadian di Mendom, Lenggeng di sini, pagi tadi.
Menurut Abdul Rahman Abdullah, 70, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan telefon oleh menantunya, Erlinda Ahmad, 47, pada pukul 6 pagi selepas terdengar bunyi harimau.
“Bimbang dengan keadaan di luar, menantu saya hanya keluar rumah pada pukul 7 pagi.
“Ketika membuat pemeriksaan di kebun, dia nampak bangkai kambing dipercayai dibahan harimau kumbang berdasarkan kesan gigitan dan cakaran pada ternakan itu.
“Luluh hati saya apabila dimaklumkan oleh menantu. Ini kejadian kedua ternakan saya dibaham harimau kumbang. Sebelum ini haiwan itu membaham 150 ekor ayam peliharaan saya. Kali ini, saya kerugian RM6,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdul Rahman, keluarganya sudah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, Perhilitan dan ketua kampung untuk tindakan segera.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri berkata, satu perangkap dipasang di kawasan kandang kambing bagi mengesan haiwan liar tersebut.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengatakan ternakan mereka mati dipercayai dibaham harimau kumbang.
“Harimau kumbang disyaki memasuki kandang kambing melalui ladang sawit berhampiran. Tiga ekor kambing yang mati berada dalam kandang, manakala seekor anak kambing dibawa lari haiwan liar tersebut,” katanya.