JOHOR BAHRU – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memuji aksi pemain yang memberikan persembahan lima bintang ketika membelasah pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 9-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.
Bidoglio berkata, rata-rata pemain mempamerkan konsisten dalam saingan Liga Malaysia musim ini yang semakin hampir penghujungnya.
Pengendali kelahiran Argentina itu menuntut pemain untuk mengekalkan rentak kemenangan sehingga ke perlawanan apabila berdepan ke Kuching City FC, Rabu ini.
“Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi biarpun berdepan kelab yang bergelut bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman. Mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
“Kesungguhan ini yang dituntut daripada setiap pemain dari awal musim lagi, dan mereka berjaya membalas kepercayaan yang diberikan sebaiknya. Walaupun berdepan perjalanan liga panjang, pemain kekal konsisten,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE