SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Sri Lanka menjadi korban pertama banjir di daerah ini apabila maut terkena renjatan elektrik di sebuah stor barang binaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 27 tahun itu ditemukan orang awam yang segera menghubungi polis pukul 10.51 pagi.
Turut dijumpai, seekor anjing yang mati terkena renjatan elektrik di sisi mayat lelaki tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati premis itu merupakan stor yang turut dijadikan tempat tinggal mangsa.
“Pemeriksaan lanjut menemukan mayat lelaki Sri Lanka dalam keadaan tertiarap di kawasan berkenaan. Mangsa memakai baju T berwarna merah berlengan pendek dan memakai berseluar pendek coklat,” katanya petang ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematian. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE