BALIK PULAU – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja melibatkan dua suspek lelaki warga Myanmar dan Bangladesh serta satu pasangan kekasih warga tempatan dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11 pagi di Kampung Permatang Damar Laut, polis menahan sepasang kekasih warga tempatan iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang lelaki berusia 42 tahun.
”Lelaki tersebut bekerja sebagai peniaga dan berasal dari Kelantan, manakala wanita berkenaan tidak bekerja dan berasal dari Balik Pulau.
“Pasangan kekasih ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja, kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta turut positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini hari ini.
Menurut Sazalee, susulan tangkapan pasangan kekasih itu, polis kemudian menjalankan serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Lengkok Pemancar, Gelugor, sekitar pukul 3.30 petang.
“Menerusi serbuan ini polis menahan dua lelaki warga asing, masing-masing dari Myanmar dan Bangladesh, berusia 25 dan 30 tahun.
“Pasangan kekasih berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada lelaki warga Myanmar dan Bangladesh ini, kemudian pasangan kekasih ini membungkus semula dadah ganja di dalam paket kecil untuk dijual semula,” katanya.
Sazalee berkata, hasil serbuan di Gelugor, polis berjaya merampas 17 ketulan ganja seberat lebih 12.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM38,493. – KOSMO! ONLINE