fbpx

Lelaki didakwa ugut sebar aib, khianat kereta bekas kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka atas tuduhan mengugut dan melakukan khianat kereta bekas kekasih di sini hari ini. -Foto oleh ARIF HAMIZAN / KOSMO!

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan merosakkan kereta milik bekas kekasihnya, bulan lalu.

Tertuduh, K. Mageshwaran, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mendatangkan ketakutan kepada J. A Yetrina, 24, dengan kata-kata ugutan “akan menghancurkan hidup dengan cara menyebarkan gambar-gambar di dalam media sosial”.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah rumah bernombor, Jalan Merbok 1/8, Taman Merbok dalam daerah Melaka Tengah pada 31 Mac 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan bonet hadapan sebuah kereta milik wanita berkenaan pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan RM10,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 22 Mei untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI