fbpx

Lebih RM10 juta baik pulih kolej usang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA kemudahan di UiTM Dungun yang perlu dibaiki bagi memberi keselesaan kepada penuntut.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menerima peruntukan lebih RM10 juta daripada kerajaan bagi membaik pulih bangunan kolej kediaman universiti berkenaan yang didakwa usang serta banyak kemudahan rosak.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pihaknya telah memulakan usaha penambahbaikan infrastruktur sejak tahun lalu termasuk bangunan kuliah dan kemudahan pelajar.

“Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MOF) atas peruntukan lebih RM10 juta yang disalurkan kepada UiTM Dungun. Dana ini amat penting untuk membaiki kolej dan bangunan akademik yang sudah lama digunakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau yang turun padang meninjau fasiliti di Kampus UiTM Dungun memberitahu, sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan khusus untuk membaik pulih peralatan dapur Hotel UiTM yang tidak pernah diganti sejak penubuhan institusi tersebut.

Hotel tersebut merupakan pusat latihan industri bagi pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.

“Kerja-kerja pembaikan akan dijalankan secara berperingkat mengikut blok kediaman bagi memastikan pelajar masih boleh mendiami kampus tanpa perlu berpindah ke luar. Ini sekali gus meminimumkan gangguan terhadap sesi pengajian,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya tekad memastikan kemudahan prasarana kembali berada dalam keadaan terbaik selaras genap 50 tahun usia UiTM Cawangan Terengganu, tahun ini.

“UiTM dan KPT komited untuk terus memastikan semua kemudahan pengajian tinggi disenggara dengan baik demi memberi persekitaran pembelajaran yang selesa dan selamat kepada mahasiswa,” katanya.

Kelmarin Kosmo! melaporkan keceriaan pelajar universiti di Dungun, Terengganu untuk me­nyambung pelajaran semester 2 selepas cuti Aidilfitri terencat apabila kolej kediaman mereka didakwa berada dalam keadaan tidak terurus dan kotor.

Bangunan premis kolej kediaman tersebut didakwa bukan sahaja usang, malah banyak kemudahan seperti bilik mandi, tandas serta kipas angin terbiar rosak serta berkulat.

Senario itu turut menimbulkan rungutan ramai ibu bapa dan ahli keluarga pelajar terbabit yang menghantar mereka pulang ke kampus pada hujung minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI