KOTA BHARU – Seorang kontraktor ditemukan lemas di dalam tali air selepas dipercayai diserang sawan semasa memancing di kawasan itu di Kampung Kerak, Kadok di sini hari ini.
Mangsa, Che Hafirullah Che Hasan, 30, dijumpai dalam keadaan tertiarap di dalam tali air itu kira-kira pukul 9 pagi oleh penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut.
Isteri mangsa, Suzaitul Atikah Hashim, 29, berkata, arwah suaminya yang menghidap sawan sejak lima tahun sering mengalami kekejangan bahagian tengkuk.
Menurutnya, arwah gemar memancing dan keluar dari rumah ke tali air itu yang terletak kira-kira 500 meter pada pukul 8.30 pagi.
“Saya tidak sedar arwah keluar dari rumah kerana masih tidur bersama anak tunggal kami, Nurdamia Olivia, 3. Dia yang ketika ini masih dalam tempoh bercuti Hari Raya Aidilfitri hanya memaklumkan untuk pergi memancing seorang diri kepada ibunya, Zainab Mamat, 46,.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh adik ipar bahawa arwah suami dijumpai sudah meninggal dunia di tali air itu. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaannya,”katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kerak, Kadok di sini hari ini.
Suzaitul Atikah memberitahu, dia sebelum ini pernah menghalang suaminya untuk keluar memancing memandangkan arwah kerap mengalami kekejangan dan sawan.
Menurutnya, jenazah suami akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerak, Kadok di sini selewat-lewatnya petang ini. – KOSMO! ONLINE