PARIS – Bekalan selesa diraih Paris Saint-Germain (PSG) selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes awal pagi semalam.
PSG memanfaatkan sepenuhnya aksi di laman sendiri apabila menguasai keseluruhan permainan dengan melakukan 29 percubaan ke arah pintu gol Villa dengan 10 daripadanya merupakan percubaan tepat.
Walaupun memiliki kelebihan dua jaringan ke atas Villa, namun jurulatih PSG, Luis Enrique memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak memandang remeh aksi timbal balik di Villa Park minggu depan.
“Gol yang dijaringkan pada penghujung permainan boleh dianggap sebagai habuan atas apa yang kami lakukan dalam tempoh tersebut. Satu kemenangan yang baik tetapi saya tidak mahu terlalu selesa dengan keadaan ini.
“Sekiranya kami mahu melayakkan diri ke separuh akhir, kami perlu pergi ke sana (Villa Park) dan mencatat kemenangan. Pemain-pemain perlu turun dengan mentaliti untuk ‘melukakan’ pasukan lawan,” katanya.
Pada perlawanan itu, PSG mempamerkan aksi cukup baik untuk menjaringkan tiga gol menerusi Desire Doue, Khvicha Kvaratskhelia dan Nuno Mendes manakala gol sagu hati Villa dijaringkan Morgan Rogers.
“Saya percaya Villa akan lebih menyerang pada aksi timbal balik nanti dan ia boleh menjadi satu perlawanan menarik. Memang ia sukar sama seperti aksi di Anfield, namun kami tidak bersandar pada ramalan,” ujar Enrique. – AGENSI