JAGUH memanah negara, Juwaidi Mazuki mengakui teruja apabila acara compound akhirnya bakal dipertandingkan di pentas Sukan Olimpik pada edisi Los Angeles 2028 (LA28) bagi kategori berpasukan campuran.
Menurut Juwaidi, beliau sebelum ini hampir ‘memperlahankan’ kariernya kerana menyangka peluang ke pentas Olimpik sudah tertutup buat pemanah-pemanah compound.
“Saya memang tak jangka berita seperti ini, sebab sebelum ini saya dah mula ‘slowing down’ dalam sukan memanah kerana tidak tahu acara compound akan dipertandingkan di Olimpik.
“Saya kembali ke skuad kebangsaan pun sekadar untuk kekal kompetitif, tetapi impian Olimpik macam dah pudar sebab tak pasti acara compound akan dipertandingkan atau tidak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pengumuman rasmi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam ternyata disambut baik semua atlet compound dunia.
Ini adalah kali pertama kategori baharu diperkenalkan dalam program sukan memanah Olimpik sejak 1972, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan enam pingat bakal dipertandingkan di LA28.
Berita gembira tersebut menjadi pembakar semangat buat Juwaidi untuk kembali berlatih lebih keras demi mengejar impian ke Olimpik.
“Berita ini besar maknanya untuk saya. Mungkin saya akan dipanggil jurulatih untuk mulakan latihan dalam masa terdekat, mungkin minggu ini. Jadi kena buat perancangan rapi.
“Tahun ini saya sudah tandatangan kontrak bersama skuad kebangsaan untuk berada dalam program Podium pada Januari lalu. Fokus sekarang ke Sukan SEA Thailand 2025,” jelasnya.
Juara kebangsaan itu turut berkata, beliau kini mahu memastikan prestasinya kekal konsisten bersama gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh terutama dalam acara berpasukan campuran.
“Dalam memanah, apa-apa boleh berlaku. Kalau dapat kekalkan kombinasi saya dengan Fatin, itu satu kelebihan. Tetapi kita kena kerja keras dari segi perancangan, latihan dan penyertaan kejohanan selepas ini,” katanya.
Juwaidi kini berada dalam kelompok podium untuk Sukan SEA Thailand 2025 selain pernah menghuni ranking ke-20 dunia sebelum ini.