fbpx

Jurulatih perunding insurans kekal bebas tuduhan tipu, pengubahan wang haram RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih perunding insurans kekal bebas daripada 26 pertuduhan membabitkan penipuan dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.8 juta, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak rayuan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah terdahulu yang melepaskan dan membebaskan Zuriati Mohamed Yusoff, 51, daripada kesemua pertuduhan.
Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil menyatakan pembelaan responden (Zuriati) berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Ujarnya, pembelaan yang dikemukakan ialah wang RM1,849,719.75 adalah bukan untuk pembelian polisi insurans pengadu yang juga saksi pendakwaan kelima (SP5) tetapi bayaran balik wang yang didahulukan suami Zuriati.
Menurut hakim itu, wang pendahuluan itu adalah bagi transaksi membabitkan perdagangan emas dan berlaku atas arahan SP1 (penasihat kewangan SP5).
“Pendakwaan gagal membuktikan responden (Zuriati) telah memperdaya SP5. Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan kesalahan predikat (menipu) terbabit,”katanya.
Selain itu, Hakim Muhammad Jamil berkata, oleh kerana tiada kesalahan predikat, kemungkinan bahawa wang itu hasil daripada aktiviti haram tidak dibuktikan.
“Tiada alasan mencukupi untuk mahkamah ini mengganggu keputusan hakim bicara yang melepaskan dan membebaskan responden di akhir perbicaraan. Oleh itu, rayuan pendakwa raya ditolak dan keputusan hakim bicara dikekalkan,”katanya.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Halijah Mohd. Khalid manakala Zuriati diwakili peguam bela, Nur Shafiqa Balqish Jaffri.
Sekitar Februari 2021, Zuriati didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya dalam urusan pembelian enam polisi insurans yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memberi wang RM1,849,719.75, pada 21 Mei 2018 di sebuah premis di Jalan Raja Chulan di sini.
Bagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, bekas pengarah syarikat Millionaire Synergy Sdn. Bhd. didakwa menerima wang berjumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Zuriati juga didakwa atas empat pertuduhan menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui empat cek berbeza sebagai bayaran kepada diri sendiri dan seorang lagi individu yang lain.
Bagi 20 lagi pertuduhan, wanita itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM10,000 hingga RM435,080 kepada diri sendiri, sebuah syarikat dan seramai 17 individu berasingan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI