PETALING JAYA – Bilangan penganggur pada Februari 2025 terus menurun kepada 532,800 ribu orang berbanding 533,800 pada Januari, dengan kadar pengangguran kekal sebanyak 3.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara kekal stabil selaras dengan perkembangan ekonomi yang menggalakkan.
“Dalam hal ini, bilangan tenaga buruh pada Februari lalu berada dalam trend yang meningkat, naik sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.27 juta orang (Januari 2025: 17.22 juta orang).
“Kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada 70.7 peratus (Januari 2025: 70.6 peratus).
“Peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja dan trend penurunan dalam bilangan penganggur merupakan penyumbang kepada kedudukan positif ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa yang sama, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun tidak berubah iaitu pada 10.3 peratus, merekodkan 298,900 penganggur belia (Januari 2025: 10.3 peratus; 299,300 orang).
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula kekal pada 6.3 peratus, dengan bilangan penganggur menurun kepada 401,600 orang (Januari 2025: 6.3 peratus; 402,400 orang). – KOSMO! ONLINE