fbpx

Jonassen ada perancangan buat Tze Yong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG

PERKEMBANGAN cukup positif dapat dilihat pada perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 yang berlangsung di Ningbo, China ketika ini.

Walaupun tersingkir seawal pusingan pertama, namun Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen tetap gembira dengan aksi ditampilkan Tze Yong selepas kembali daripada rehat panjang.

Jonassen berkata, beliau dapat melihat beberapa perkara positif ditampilkan Tze Yong, namun enggan tergesa-gesa kerana beliau memiliki perancangan jangka panjang buat pemain berusia 25 tahun itu.

“Saya gembira untuk kembali melihat Tze Yong kembali menyertai kejohanan. Walaupun hari ini (kelmarin) cabaran terlalu besar tetapi saya dapat melihat sesuatu yang boleh membantu kepulangannya.

“Ada banyak perkara penting boleh diambil dalam usaha kita untuk bergerak ke hadapan, cuma ia akan dibuat langkah demi langkah dan tidak tergesa-gesa. Kami ada perancangan jangka panjang untuk hasil terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo kelmarin, Tze Yong yang melakukan penampilan sulung selepas berehat selama setahun terpaksa akur tewas 9-21, 12-21 kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Penyertaan Tze Yong pada BAC kali ini dianggap cukup penting bagi memastikan perlindungan ranking diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang sepatutnya berakhir hujung bulan ini dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi.

Sebagai rekod, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 terpaksa berehat panjang sebelum ini selepas mengalami kecederaan belakang pada Terbuka Malaysia tahun lalu sehingga menyebabkan dia menjalani dua pembedahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI