PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam pengurusan dan keselamatan saluran gas di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kajian itu penting sebagai usaha penambahbaikan kepada sistem sedia ada.
Beliau berkata, amalan terbaik itu kemudian akan dicadangkan kepada pihak berkaitan termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi mengelak insiden kebakaran paip gas di Putra Height pada 1 April lalu berulang.
“Kita akan mencadangkan ataupun melihat perbandingan amalan-amalan terbaik yang dibuat di seluruh dunia (berhubung pengurusan saluran gas) untuk kita buat cadangan kepada pihak Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (Bagi Tender Bekalan) antara JBPM dan CLW Special Automobile (M) Sdn. Bhd. (CLW Malaysia) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, lima pegawai JBPM masih ditugaskan di lapangan bagi mendapatkan data berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Height.
“Kita masih lagi dalam peringkat siasatan dan kita perlukan lebih kurang dalam dua minggu untuk membuat kompilasi awal berhubung data-data yang telah kita dapat,” katanya. – KOSMO! ONLINE