fbpx

‘Jangan buat spekulasi, hormati siasatan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NGA Kor Ming (tengah) melihat pelan kerja-kerja naik taraf jalan Medan Ipoh di sini hari ini.

IPOH – Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung syarikat kontraktor yang terlibat dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, proses siasatan bagi insiden berkenaan sedang dijalankan dan orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas mereka.

“Kita jangan buat spekulasi, hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis. Sekiranya ada pihak yang bersalah, ia akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (untuk pendakwaan).

“Saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat dan mendedahkan apa sebab sebenar (letupan). Saya tidak ingin terlibat dalam apa-apa spekulasi dan saya juga bukan dalam kedudukan yang membolehkan untuk menjawab berkait soal siasatan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan projek naik taraf jalan Medan Ipoh 2, di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, fokus utama KPKT kini adalah bagi membantu penduduk yang terjejas untuk membina semula kehidupan melalui tiga fasa yang telah dirangka kerajaan.

“Seperti saya umumkan, KPKT sedang fokus untuk membantu rakyat. Kita bahagi kepada tiga fasa iaitu penyelamatan yang telah selesai diikuti fasa kedua membabitkan pemulihan dan pembinaan semula bagi fasa ketiga.

“Setakat ini sebanyak 291 buah rumah terjejas dengan 87 unit rumah hangus. Kita sedang cari dana dan sudah ada pelan tindakan. Apabila semua sudah selesai, saya dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Petronas akan buat pengumuman. Buat masa sekarang, beri kami masa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI