PETALING JAYA – Tanpa berselindung, penyanyi Irfan Haris menceritakan persediaan istimewa buat pelakon Fattah Amin yang datang beraya di kediaman keluarga mereka di Johor.
Sewaktu kunjungan tersebut, adik kepada penyanyi Amira Othman itu memaklumkan ibu mereka menyediakan makanan kegemaran pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, iaitu sambal udang.
“Ada satu hari mama saya masak sambal udang dalam kuantiti yang banyak.
“Selalu kebiasaannya kalau raya mama akan masak lauk raya macam rendang tetapi kali ini ada tambahan juadah istimewa, sambal udang.
“Saya tanya ada orang nak datang beraya ke? Dia jawab abang long (panggilan Fattah) nak datang beraya, saya jadi teruja,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Berbicara lanjut, adik kepada penyanyi Amira Othman itu turut memberitahu bahawa kakaknya meminta seisi keluarga menggayakan baju berwarna kelabu sedondon dengan pakaian Fattah.
“Masa saya tengah bersiap, kak Ya (panggilan Amira) ketuk pintu bilik cakap semua kena pakai baju warna kelabu. Saya dah gelabah sebab tak jumpa baju warna itu.
“Saya geledah akhirnya jumpa. Apabila saya turun ke lantai bawah, saya nampak abang long pun pakai kelabu.
“Satu keluarga saya pakai kelabu termasuk mama, ayah dan abang-abang saya. Apabila dah pakai sedondon itu yang kami buat konten menari trend ‘velocity’,” tuturnya.
Dalam masa sama, Irfan mendedahkan Amira memberikan tunjuk ajar kepada aktor itu sebelum melakukan video TikTok yang tular sebelum ini.
“Saya suruh kak Ya ajar abang long buat TikTok sebab saya segan nak cakap, mereka pun setuju. Cuma abang long tak pandai buat,” ujarnya.
Hubungan Amira dan Fattah yang sebelum ini digandingkan bagi mewakili beberapa jenama mencetuskan spekulasi mereka lebuh daripada rakan seperjuangan.
Rata-rata peminat merestui andai mereka bercinta malah keluarga kedua-dua selebriti terbabit dilihat turut memberikan ‘lampu hijau’.