LIVERPOOL – Teka-teki mengenai masa depan penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah akhirnya terjawab selepas sah menandatangani kontrak baharu didakwa dua tahun untuk kekal menyarung jersi The Reds.
Sebagai rekod, Salah telah mempamerkan aksi luar biasa sepanjang musim ini apabila meledak 32 gol dalam 45 penampilan pada semua kejohanan buat skuad kendalian Arne Slot.
Meskipun terdapat spekulasi bakal berhijrah ke kelab mewah seperti Paris Saint-Germain (PSG) atau Real Madrid secara percuma, namun bintang antarabangsa Mesir itu menepis segala dakwaan dan memilih untuk kekal di Anfield.
Kata Salah, keputusan untuk menandatangani kontrak baharu cukup mudah untuk dibuat kerana selesa sepanjang lapan tahun bersama Liverpool sejak berhijrah daripada AS Roma pada musim 2017.
“Ini adalah berita yang menggembirakan kerana saya melalui detik terbaik dalam karier di sini. Sepanjang lapan tahun bersama, saya mencapai banyak kejayaan dan harap dapat melengkapkan tempoh 10 tahun di sini.
“Terima kasih kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang saya dan misi utama selepas ini adalah untuk mencapai lebih banyak kejayaan bermakna bersama,” kata pemain berusia 33 tahun itu.
Difahamkan, salah satu sebab tempoh perbincangan ejen peribadi Salah dan pihak pengurusan adalah disebabkan bekas pemain Chelsea itu tidak mahu menurunkan gajinya yang bernilai £350,000 seminggu (RM2.02 juta) seminggu selain tempoh minimum dua tahun.
Bagaimanapun, sumber terdekat mendedahkan gaji Salah boleh mencecah £400,000 seminggu (RM2.3 juta) termasuk bonus. – AGENSI