ENGLAND – Marcus Rashford kini menjadi rebutan dua kelab gergasi Eropah apabila Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan wakil pemain itu, sekali gus mengancam hasrat Aston Villa untuk mengekalkannya secara tetap di Villa Park.
Selepas melalui musim yang mengecewakan di Manchester United, Rashford kini mempamerkan kebangkitan prestasi ketika dipinjamkan ke Villa apabila dia dilihat kembali gembira dan menikmati permainannya semula di bawah kendalian Unai Emery.
Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu sebelum ini kurang diberi peluang bermain oleh pengendali baharu United, Ruben Amorim, namun mula menyerlah semula sebaik menyertai Villa.
Meskipun tiada klausa pembelian wajib dalam kontrak pinjaman, Villa dikatakan berminat untuk menawarkan sekitar £40 juta (RM230.71 juta) bagi mendapatkan Rashford secara tetap musim hadapan.
Namun, Villa kini perlu bersaing dengan PSG yang telah menghidupkan kembali minat mereka terhadap Rashford selepas mereka menyatakan hasrat berkenaan pada 2022 ketika kelab Perancis itu mencari pengganti Neymar.
Perbincangan dilaporkan telah dimulakan oleh Pengarah Sukan PSG, Luis Campos dengan ejen Rashford bagi merancang perpindahan sensasi menjelang jendela perpindahan musim panas ini.
Rashford yang baharu sahaja turun menentang PSG dalam saingan Liga Juara-Juara minggu ini bersama Aston Villa, namun gagal memberi impak apabila kelab Ligue 1 itu menang 3-1.
Biarpun, persaingan untuk mendapatkan Rashford semakin sengit, kelebihan mungkin memihak kepada Unai Emery yang berjaya mengembalikan keyakinan dan prestasi Rashford iaitu sesuatu yang mungkin menjadi faktor utama dalam keputusan akhir pemain itu. AGENSI